Sunday, 30 September 2012

Jangan sesekali berputus asa.. setiap penyakit pasti ada penawarnya insyaAllah..

PADA pertemuan di Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CaRE) di Tingkat 7, Blok Makmal A, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Adibah Hassan Noorhadi, 22, kelihatan mendiamkan diri.

Mungkin dia menganggap dirinya antara pesakit paling muda berbanding pesakit dan bekas pesakit kanser yang lain.

Bekas penuntut UPM itu disahkan menghidap kanser kelenjar atau Hodgkin's Lymphomamay Mei lalu.

Pertemuannya dengan CaRE seperti satu jodoh kerana Adibah sebelum ini pernah mengacara salah satu majlis anjuran pusat tersebut.

Justeru, sebaik sahaja disahkan kanser, Adibah segera ke CaRE mendapatkan maklumat dan berkongsi pengalaman dengan pesakit lain.

Baginya, selain kekuatan sendiri, cerita orang lain menjadi pembakar semangatnya.

Pada awalnya, dia tidak menyangka diserang penyakit serius kerana hidupnya di universiti hanya tertumpu pada pembelajaran dan aktiviti kokurikulum.

"Apabila saya hanya mampu baring di katil, ingatan saya kuat pada arwah ibu. Ibu meninggal pada bulan puasa lalu ketika saya sedang bertarung nyawa melawan penyakit ini.

''Kemudian saya sentiasa ingat, kalau saya sakit, saya pejamkan mata dan kuatkan semangat. Saya berkata pada diri sendiri, aku kena hidup untuk diri sendiri dan keluarga," katanya.

Gemarkan aktiviti lasak seperti bersukan, Adibah berkata, pesakit kanser perlu kuatkan fizikal, mental, rohani dan jasmani dalam mengharungi penyakit serius.

"Gabungan empat perkara ini boleh melegakan sebarang kesakitan, walaupun terpaksa melaluinya seorang diri. Jangan mudah putus asa apabila disahkan menghidap kanser kerana selagi ada usaha, pasti ada ubat untuk penyakit itu, kecuali mati," jelas Adibah.

Berdikari

Walaupun dirinya masih lagi memerlukan satu lagi rawatan kimoterapi, banyak urusan dilakukannya sendiri. Dia tidak mahu menyusahkan keluarganya kerana sejak universiti lagi wanita muda ini sudah berdikari.

"Saya kuatkan semangat walaupun sukar menerima hakikat saya menghidap kanser. Saya masih ingat lagi awal tahun dahulu, saya sering batuk dan sakit dada.

''Saya ingat itu hanya penyakit biasa. Kebetulan saya baru sahaja mendapat keputusan sarjana muda dengan kelas pertama kepujian. Selepas itu saya memohon kerja dan berjaya mendapat tawaran pekerjaan.

''Tawaran tersebut serentak dengan keputusan penyakit saya dari pihak hospital dan akhirnya saya terpaksa melupakan cita-cita," ujarnya.

Berkongsi pengalamannya ketika menjalankan rawatan kimoterapi, dia turut merasai simptom seperti muntah dan keletihan.

Bagaimanapun, katanya, doktor mengakui badannya masih kuat untuk melakukan kimoterapi.

''Saya hanya mengalami keguguran rambut yang serius selepas seminggu menjalani rawatan kimoterapi.

"Ketika memegang dan menyikat rambut saya dapati rambut gugur. Hari demi hari semakin banyak. Saya pun mengambil keputusan mencukur rambut. Ia lebih mudah diuruskan lebih-lebih lagi saya perlu menjalani rawatan susulan," katanya.

Walaupun kanser sudah sampai ke bahagian dada, Adibah masih beruntung kerana ia tidak menyerang organ penting dalaman.

Selepas menjalani rawatan kimoterapi, atas nasihat doktor, Adibah mungkin akan menjalani rawatan pemindahan sel darahnya.

Dalam pada itu, Adibah mengakui persatuan seperti Persatuan Kanser Network Selangor Wilayah Persekutuan (KanWork) di bawah CaRE banyak membatu pesakit-pesakit kanser muda sepertinya.

"Apabila kita disahkan sakit, mungkin kita tak tahu hala tuju atau sukar mengembalikan semangat. Tetapi di sini, kami berkongsi dan memberi motivasi tanpa mengira usia atau jenis kanser," ujarnya. —






No comments:

Post a Comment